Mohd Aliff membelai burung kakaktua jenis Ducorps dan Medium Sulphur-Crested.
Mohd Aliff membelai burung kakaktua jenis Ducorps dan Medium Sulphur-Crested.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Terlalu kemaruk dengan burung kakaktua mendorong seorang pemuda membelanjakan lebih RM30,000 wang simpanannya bagi mendapatkan pelbagai jenis baka kakaktua selain membina sangkar burung itu untuk tujuan penternakan sejak 12 tahun lalu.

Malah, Mohd Aliff Mohd Najib, 32, dari Kampung Buluh Gading sanggup membelanjakan lebih RM500 sebulan bagi memastikan 30 burung kakaktua pelbagai spesies termasuk Macau, Greater Sulphur, Ducorps dan Medium Sulphur-Crested mendapat makanan dan penjagaan yang sepatutnya.

Mohd Aliff berkata, dia mula menternak burung Budgerigar dan Lovebird kerana ia mendapat sambutan menggalakkan sehingga mampu meraih RM1,500 sebulan hasil menjual anak burung berkenaan.

“Bagaimanapun, sambutan terhadap burung itu kian berkurangan lalu saya cuba berjinak-jinak membela burung kakaktua dan burung pertama yang dibela adalah Parrot Kelabu Afrika (African Grey) dan ia dibiak sebelum saya mendapatkan spesies burung kakaktua lain.

“Bukan senang untuk menternak burung kakaktua kerana proses dan cara pembiakannya berbeza berbanding burung biasa, malah semua burung yang dipelihara mempunyai lesen yang dikeluarkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“Saya terpaksa mencipta suasana hutan yang sebenar di dalam sangkar bagi memastikan ia membiak seperti di habitatnya dan paling lama sepasang burung kakaktua itu bertelur selepas empat tahun diternak,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Tambahnya, dia terpaksa membelanjakan wang yang banyak bagi mendapatkan sepasang induk kakaktua yang berkualiti dan pernah membeli sepasang Macau dengan harga RM18,000.

“Bukan saja duit banyak dihabiskan untuk menternak burung kakaktua tetapi tenaga dan masa juga perlu dikorbankan bagi memastikan ia membiak dengan baik.

“Saya mula menguruskan ternakan seawal jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari setiap hari dengan membersihkan najis burung di dalam sangkar terlebih dulu sebelum memberi makanan dan minuman kepada ternakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 6:31 AM