IZHAM (tengah) dan Mastura melihat model rumah yang ditawarkan KHSB melalui Projek Perumahan Puncak Harmoni di Kuala Kangsar.
IZHAM (tengah) dan Mastura melihat model rumah yang ditawarkan KHSB melalui Projek Perumahan Puncak Harmoni di Kuala Kangsar.
Muhammad Apendy Issahak


Kuala Kangsar: Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) mencipta sejarah tersendiri apabila menjalankan projek perumahan pertama di luar Kedah melalui Puncak Harmoni, di sini, yang dilancarkan dan mula dijual semalam.

Projek perumahan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM44 juta itu dibina di tanah seluas kira-kira 3.5 hektar di Jalan Manong Baru, di sini, membabitkan rumah banglo, semi D dan teres dua tingkat.

Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Izham Yusoff, projek perintis luar Kedah itu dilaksanakan melalui anak syarikat BDB iaitu Kedah Holdings Sdn Bhd (KHSB) yang menawarkan rumah harga berpatutan serta pelbagai kemudahan selain pemandangan indah sekitar Bandar Diraja ini kerana terletak di kawasan bukit.

Katanya, KHSB ditubuhkan pada 1982 dan aktif dalam sektor pembangunan skala kecil dan sederhana di Kedah dengan antara projek perumahan yang dilaksanakan adalah Kulim Heights Apartmen, Taman Nusantara dan Taman Lelasari yang terletak di kawasan pinggir bandar.

“Kawasan projek perumahan Puncak Harmoni dilihat kawasan yang berpotensi dibangunkan memandangkan kawasan persekitarannya juga dibangunkan dan sememangnya menjadi tumpuan penduduk setempat dan luar.

“Di samping itu, Kuala Kangsar juga dilihat daerah yang akan terus membangun pada masa akan datang dan dengan adanya pembangunan seperti kawasan elit Puncak Harmoni, ia bukan saja dapat menarik perhatian pelawat berkunjung, tetapi terus menetap di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Projek Perumahan Puncak Harmoni dan Majlis Jamuan Aidilfitri di sini, semalam yang dirasmikan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid.

Menurutnya, Puncak Harmoni menawarkan 84 unit rumah mewah merangkumi empat rumah banglo, 20 unit rumah berkembar dua tingkat dan 60 unit rumah teres dua tingkat.

“Projek ini dilengkapi pelbagai kemudahan untuk penduduk serta terletak di kawasan strategik yang mempunyai kemudahan lain seperti pasar raya, kelab golf, stesen perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan hospital.

“Diharapkan projek sulung kami ini dapat memangkin ekonomi dan meningkatkan status kehidupan penduduk Kuala Kangsar dan tidak terhenti di sini saja, malah akan terus merancakkan kemajuan selain membuka jalan lebih luas kepada BDB untuk meneroka peluang baru di Perak,” katanya.

Sementara itu, Mastura dalam ucapannya menyokong usaha BDB dalam menjadikan daerah ini sebagai kawasan pertama di luar Kedah untuk dibangunkan projek perumahan.

“KHSB adalah anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah yang berpusat di Kedah dan dikenali ramai dalam sektor perumahan bukan saja di utara tanah air, tetapi juga di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 2:04 PM