MOHAMED Khaled (dua kanan) melakukan cabutan undi sambil diperhatikan Hasni (dua kiri), Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Johor, Abas Abu Bakar (kiri) dan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Johor, Mahmoood Amir (tiga kiri). FOTO Hairul Anuar Rahim
MOHAMED Khaled (dua kanan) melakukan cabutan undi sambil diperhatikan Hasni (dua kiri), Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Johor, Abas Abu Bakar (kiri) dan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Johor, Mahmoood Amir (tiga kiri). FOTO Hairul Anuar Rahim
Mary Victoria Dass


LIMA PULUH projek menaik taraf jalan kampung di Johor bernilai keseluruhan RM7.7 juta diagihkan kepada kontraktor yang berdaftar di Koperasi Kontraktor Melayu Johor menerusi proses cabutan undi fasa dua hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, proses pengundian itu memberi peluang kepada ahli koperasi kontraktor untuk terbabit sama dalam projek menaik taraf jalan kampung di negeri itu.

Beliau berkata, cabutan undi yang terbuka kepada 1,500 ahli koperasi memberi peluang kerja dan telus kepada kontraktor yang berdaftar mahupun terdapat dalam daerah negeri ini.

"Selain pengagihan secara undi, kerajaan negeri menerusi Pusat Pembangunan Kontraktor Johor (JCCD) turut memperkenalkan kaedah lain bagi membantu golongan kontraktor di Johor.

"Ia termasuk mengambil langkah menetapkan 0.5 peratus daripada peruntukan pembangunan infrastruktur yang disediakan kerajaan negeri diberikan kepada JCCD.

"Tujuannya adalah untuk memberi pendedahan dan membuka peluang kepada kontraktor untuk terbabit dalam projek yang ditawarkan dalam negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media di Majlis Cabutan Undi Fasa 2 Projek Jalan Kampung di Taman Universiti di Skudai, hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 1:31 PM