ORANG ramai mengiringi jenazah Mohd Ali.
ORANG ramai mengiringi jenazah Mohd Ali.

Johor Bahru: Pemergian bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Datuk Mohd Ali Hassan disifatkan kehilangan besar, malah Allahyarham turut dilihat sebagai tokoh politik berwibawa dan banyak berjasa kepada negeri ini.

Beberapa bekas Exco kerajaan negeri yang ditemui mengakui, Allahyarham sebagai Speaker tegas dalam melaksanakan tugas di DUN kerana seimbang dalam memberi teguran kepada pihak pembangkang dan kerajaan terutama membabitkan peraturan dewan.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri Datuk Zainal Abidin Osman yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau berkata, ketegasan Mohd Ali bertempat, malah adil kepada semua pihak termasuk barisan kerajaan dan pembangkang.

“Pada pandangan saya, Allahyarham seorang Speaker yang tegas bertempat dan adil kepada semua pihak, tidak kira orang itu daripada kerajaan atau pembangkang dan yang penting ahli dewan mesti mengikut peraturan ditetapkan dan dia menegur sesiapa saja yang tidak mengikut peraturan,” katanya.

Menurutnya, sebagai rakan, dia sering meminta nasihat dan pandangan malah Allahyarham tidak lokek berkongsi pengalaman sepanjang kerjayanya sebagai penjawat awam dan ahli politik.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Allahyarham seorang tokoh politik berwibawa selain banyak berjasa kepada negeri ini.

“Beliau banyak menyumbang khidmat bakti serta pemikiran khusus dalam pembangunan Islam di Johor sehingga dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Johor 1435 Hijrah,” katanya.

Allahyarham meninggal dunia akibat masalah jantung di Hospital KPJ Johor, Johor Bahru, awal pagi semalam.

Menantu Allahyarham, Kamarul Shahriman Kamaruddin, 41, berkata doktor mengesahkan Mohd Ali meninggal dunia jam 2.30 pagi.

“Pada jam 1 pagi, saya menerima panggilan daripada ibu mentua memberitahu Allahyarham semput dan mengalami kesukaran bernafas.

“Saya dan isteri, Zarina (anak sulung Allahyarham) bergegas dari rumah di Kempas ke kediaman keluarga mentua,” katanya.

Mohd Ali, 79, meninggalkan isteri, Misbah Sakat, 67, dua anak lelaki dan dua anak perempuan serta 11 cucu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 8:44 AM