Orang ramai berurusan seperti biasa di kaunter JPJ Padang Jawa, Shah Alam, termasuk memperbaharui cukai jalan. - Foto HAFIDZUL HILMI MOHD NOOR
Orang ramai berurusan seperti biasa di kaunter JPJ Padang Jawa, Shah Alam, termasuk memperbaharui cukai jalan. - Foto HAFIDZUL HILMI MOHD NOOR
Hayati Ibrahim dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


MASALAH memperbaharui cukai jalan, terutama di Selangor yang sebelum ini tergendala, kembali pulih hari ini.

Tinjauan Harian Metro di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Padang Jawa, Shah Alam, mendapati orang ramai berurusan seperti biasa dan mampu menyiapkan LKM dalam tempoh sehari.

Penjawat awam, Mohd Isa Amri, 33, berkata dia datang ke JPJ untuk memperbaharui insurans dan cukai jalan dan tidak tidak tahu mengenai isu kehabisan disk LKM

“Urusan saya selesai dalam masa kira-kira sejam.

"Ada juga individu menawarkan untuk membantu mempercepatkan proses dengan bayaran RM30 namun saya menolak," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, masalah cukai jalan kenderaan yang habis di cawangan JPJ Padang Jawa, Shah Alam, tular di media sosial hingga mencetuskan kegusaran orang ramai.

Turut dipaparkan makluman pembaharuan cukai jalan yang tidak dapat dijalankan di pejabat pos dan portal dalam talian MYEG berpunca kehabisan stok disk.

Dalam kenyataan di Putrajaya, JPJ menyatakan masalah itu disebabkan kerosakan mesin pencetak untuk mencetak nombor siri serta ciri-ciri keselamatan pada disk LKM.

“Akibat kegagalan mesin, stok LKM baru tidak dapat dicetak dalam tempoh kerosakan itu menyebabkan syarikat pembekal tidak dapat membekalkan disk LKM kepada stor pusat, Ibu Pejabat JPJ di Putrajaya.

"Bagaimanapun, tindakan drastik sudah diambil oleh syarikat pembekal untuk membuat cetakan dan pengeluaran disk LKM dalam skala besar bagi membolehkannya disalur kepada JPJ dan ejen pemungut," kata kenyataan itu.

“Jabatan memberi jaminan isu kekurangan bekalan disk LKM akan ditangani dengan sebaik mungkin agar pengguna tidak menghadapi kesulitan memperbaharui LKM sama ada di cawangan JPJ atau melalui ejen iaitu Pos Malaysia dan MyEG," kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 11:00 PM