Pelaksanaan hukuman sebat secara terbuka di Aceh, Indonesia. - Foto Fail/Agensi
Pelaksanaan hukuman sebat secara terbuka di Aceh, Indonesia. - Foto Fail/Agensi
Ekhwan Haque Fazlul Haque

RANG Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017), termasuk sebat di khalayak ramai yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam, perlu dilihat dalam konteks hanya untuk orang Islam di negeri itu sahaja.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pindaan itu hanya memberikan implikasi kepada orang Islam sahaja dan tidak membabitkan orang bukan Islam di Kelantan.

"Saya belum mendapat maklumat terperinci mengenai butirannya namun saya fikir apa yang dilakukan oleh mereka itu harus dilihat dalam konteks hanya untuk orang Islam di Kelantan sahaja," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ketika diminta mengulas pindaan itu, antara lain membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.

Mengulas lanjut, timbalan perdana menteri berkata, kerajaan negeri Kelantan berhak untuk mengemukakan pindaan rang undang-undang itu di DUN kerana mereka mempunyai suara majoriti.

“Bagaimanapun biarpun pindaan itu sudah diluluskan, ia masih tertakluk kepada perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan untuk pelaksanaan,” katanya.

RUU itu juga memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama menggunakan gari terhadap suspek selain membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan,

Antara kesalahan yang boleh dihukum sebat ialah berzina, qazaf (membuat tuduhan seseorang itu melakukan zina yang tuduhan itu tidak dapat dibuktikan dengan empat saksi), syurb (meminum arak) dan liwat.

Pindaan itu dicadangkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan diluluskan sebulat suara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 3:17 PM