Jenazah Muhamad Al Fateh dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Raja, Batu Pahat. FOTO Essa Abu Yamin
Jenazah Muhamad Al Fateh dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Raja, Batu Pahat. FOTO Essa Abu Yamin
Mohamad Fahd Rahmat


JENAZAH Muhamad Al Fateh Abdullah, kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa dera, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Raja, Batu Pahat, Johor, jam 8.30 malam tadi.

Jenazah sebelum itu dituntut oleh ahli keluarga kandungnya di Unit Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat selepas selesai bedah siasat, jam 6.30 petang tadi.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Kampung Pintas Puding, Parit Raja untuk solat jenazah oleh ahli keluarga dan penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, pihaknya akan menunggu laporan bedah siasat dikeluarkan terlebih dulu sebelum membuat sebarang kenyataan berkaitan.

“Dua suspek iaitu ibu dan bapa angkat mangsa direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Dalam pada itu, ibu angkatnya yang berusia 34 tahun ada meluahkan mengenai ujian berat yang menimpa dirinya di laman sosial Facebook (FB) 11 Jun lalu.

“Ya Allah..hebat sungguh ujian mu buat hambamu..semoga aku tabah menjalaninya,” katanya.

Suspek juga memuat naik gambar anak angkatnya itu dan luahan hatinya mengenai Muhamad Al Fateh yang dihina orang sekeliling selain dibuang ibu kandungnya, 11 Januari lalu.

“Bersabarlah wahai sayang, walaupun kau dibuang ibu kandung sendiri, dihina orang sekeliling tetapi aku akan cuba melindungi kau.

“Maafkan aku jika ada kekurangan yang tidak dapat aku tunaikan dalam kesibukan, padahal aku sendiri, semoga Allah SWT melindungi kau wahai anak yang tidak berdosa,” katanya.

Muhamad Al Fateh yang disyaki didera keluarga angkatnya meninggal dunia, jam 12.45 tengah hari semalam di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNI.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 10:04 PM