HONDA CR-V generasi kelima dilengkapi dengan teknologi terkini. FOTO Yazit Razali
HONDA CR-V generasi kelima dilengkapi dengan teknologi terkini. FOTO Yazit Razali
Sofyan Rizal Ishak


HONDA Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) memperkenalkan CR-V Serba Baru di mana ia menawarkan rangkaian ciri baru yang komprehensif daripada aspek luaran, dalaman, rangkaian kuasa dan teknologi keselamatan tercanggih.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Katsuto Hayashi berkata, CR-V generasi kelima itu dilengkapi dengan teknologi terkini seperti Honda Sensing, enjin 1.5L VTEC Turbocharged dan pintu belakang kuasa yang boleh diprogramkan iaitu 'Programmable Power Tailgate'.

"Model baru ini akan menjadi satu penanda aras baru untuk segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) di Malaysia melalui tawaran teknologi termaju bagi generasi seterusnya ini," katanya pada majlis pelancaran Honda CR-V Serba Baru di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebanyak empat varian ditawarkan bagi model ini iaitu 2.0L 2WD yang ditawarkan pada harga RM142,400, 1.5L Turbocharged 2WD (RM155,700), 1.5L Turbocharged 4WD (RM161,600) dan 1.5L Turbocharged Premium 2WD (RM167,700).

Ia boleh didapati di 91 cawangan pengedar Honda seluruh negara dan didatangkan dalam lima pilihan warna iaitu hijau tua (warna baru kenderaan Honda), putih mutiara dan biru mutiara (warna baru CR-V) serta perak dan kelabu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 1:13 PM