ANTARA PATI yang ditahan. FOTO Adzlan Sidek
ANTARA PATI yang ditahan. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim


TIDAK berlaku kesesakan di depoh tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) susulan operasi besar-besaran menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana tempoh tahanan reman yang singkat sebelum didakwa di mahkamah dan diusir keluar.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Jaafar Mohamed berkata, 3,126 PATI ditahan selepas tempoh permohanan E-Kad tamat sejak 1 Julai hingga semalam dan mereka ditempatkan di depoh tahanan di seluruh negara.

"PATI ditahan ditempatkan di depoh yang masih ada kekosongan. Walaupun jumlah itu semakin bertambah, namun proses siasatan berjalan dengan cepat dan mereka hanya direman 14 hari untuk siasatan sebelum dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan.

"Proses pendakwaan sudah bermula minggu lalu dan dijangka lebih ramai akan didakwa di mahkamah minggu ini. Jika didapati bersalah mereka akan dipenjara dan diusir keluar selepas tamat hukuman," katanya semasa Op Mega di tapak pembinaan Pasir Panjang, Port Dickson, awal pagi tadi.

Dalam operasi itu, beliau berkata, 77 warga asing termasuk enam wanita ditahan daripada 85 orang yang diperiksa oleh 148 pegawai dan anggota JIM Putrajaya serta Negeri Sembilan.

Katanya, mereka yang berusia antara 25 hingga 60 tahun itu terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Pakistan dan dibawa ke Pejabat Imigresen di Seremban untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Lenggeng.

Jaafar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 9:02 AM