PENGARAH DM 8 Pahang Komander Maritim Rahim Ramli (dua dari kiri) menunjukan sotong yang sudah dikeringkan hasil tangkapan nelayan asing yang menceroboh perairan negara.
PENGARAH DM 8 Pahang Komander Maritim Rahim Ramli (dua dari kiri) menunjukan sotong yang sudah dikeringkan hasil tangkapan nelayan asing yang menceroboh perairan negara.
Zatul Iffah Zolkiply dan Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) dan agensi berkaitan dalam menangani isu pencerobohan nelayan terutama zon kawasan larangan bagi melindungi khazanah negara.

Pengarah APMM Terengganu Kepten Maritim Zainolabidin Jusoh berkata, pihaknya memandang serius kes membabitkan pencerobohan zon kawasan larangan menangkap ikan yang mana ia bukan saja mengganggu ekosistem, tetapi menutup sumber pencarian nelayan tradisional yang lain.

Menurutnya, selain penguatkuasaan sebarang aktiviti jenayah, APMM turut membantu JTLM daripada segi penguatkuasaan undang-undang yang mana pencerobohan bukan saja terhad kepada kawasan larangan, tetapi kepada pencerobohan bot nelayan asing dan nelayan tempatan.

“Pencerobohan membabitkan nelayan tempatan ini berlaku apabila mereka menangkap di kawasan lain.

“Sebagai contoh, nelayan Zon B menangkap ikan di kawasan nelayan Zon A manakala nelayan asing pula menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran.

“Selain rondaan dan pemantauan APMM sendiri, kita akan segera melakukan penguatkuasaan sekiranya menerima maklumat sama ada daripada JTLM sendiri atau orang awam,” katanya.

Zainolabidin berkata, walaupun isu pencerobohan nelayan sama ada nelayan asing atau tempatan masih terkawal, tetapi pihaknya tetap komited dalam memastikan ekosistem dan khazanah yang ada tidak terjejas.

Katanya, APMM juga tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pemilik bot yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam lesen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 7:25 AM