Rosly menunjukkan barangan dirampas daripada suspek yang mensasarkan kolam renang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rosly menunjukkan barangan dirampas daripada suspek yang mensasarkan kolam renang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi


POLIS menyelesaikan kes curi kad kredit di Pulau Pinang, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan anggaran kerugian keseluruhan RM44,000 selepas menahan seorang lelaki berusia 39 tahun di Seremban, Negeri Sembilan pada 30 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, suspek ditahan pada 1.10 pagi susulan laporan dibuat dua mangsa pada 27 Jun lalu yang kehilangan barangan disimpan dalam tempat penyimpanan di premis kolam renang di Putrajaya.

Menurutnya, mangsa mengalami kerugian keseluruhan kira-kira RM23,000.

"Penahan suspek membawa kepada penemuan pelbagai barangan milik mangsa termasuk kad kredit dan apabila disiasat, dia dipercayai berkait dengan kes di negeri lain menggunakan modus operandi sama.

"Kita turut menemui telefon pintar model terkini dipercayai dibeli oleh suspek dan kemudian disyaki dijual melalui orang tengah untuk mendapatkan wang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang sudah berkahwin dipercayai mahu mendapatkan wang untuk membeli dadah dan ujian air kencing dibuat ketika ditahan mendapati dia positif ketamin.

Rosly berkata, suspek mengaku terbabit dalam 10 kes curi dengan mensasarkan kolam renang.

"Suspek berpura-pura sebagai pelanggan dan melakukan pemerhatian terhadap mangsa di bilik persalinan.

"Seterusnya, suspek membuka tempat penyimpanan dengan cara merentapnya serta mengambil barangan mangsa dan menutupnya semula tanpa meninggalkan sebarang kesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 6:58 PM