ILUSTRASI lampu led yang menarik perhatian.
ILUSTRASI lampu led yang menarik perhatian.
ABDUL Hafiz Muhammad Nor (kiri) memasang lampu led pada pintu gerbang yang direka khas bersama sebahagian penduduk Kampung Jenjarom.
ABDUL Hafiz Muhammad Nor (kiri) memasang lampu led pada pintu gerbang yang direka khas bersama sebahagian penduduk Kampung Jenjarom.
Ayusliza Azizan


Kuala Langat: Sambutan Aidilfitri bagi penduduk Batu 9, Kampung Medan, Sijangkang, di sini, meriah apabila wujudnya pintu gerbang yang menghiasi laluan masuk ke kampung berkenaan.

Pintu gerbang itu direka pelbagai bentuk seperti masjid serta diserlahkan dengan lampu kelip-kelip di sepanjang jalan menjadikannya sangat indah, khususnya ketika waktu malam.

Penduduk, Muhammad Sulaiman Suhaimee, 23, berkata pintu gerbang itu juga dianggap sebagai simbolik bagi menyambut perantau yang pulang berhari raya ke kampung halaman mereka.

“Ini tahun kelima penduduk kampung bergotong-royong meneruskan tradisi membuat pintu gerbang.

“Sejak ia diletakkan di pintu masuk jalan ini ketika bulan puasa bagi persediaan menjelangnya hari raya, kami sebagai anak muda secara automatik rasa terpanggil untuk meneruskan tradisi itu,” katanya kepada Harian Metro, di sini, baru-baru ini.

Muhammad Sulaiman mengakui teruja apabila melihat sendiri ikatan silaturahim antara penduduk di pelbagai peringkat umur berganding bahu menyiapkan pintu gerbang terbabit.

Katanya, lebih 20 penduduk kampung mula membina pintu gerbang itu seminggu selepas berpuasa dan dapat disiapkan tiga hari sebelum Syawal pada Ahad lalu.

“Saya bertanggungjawab untuk bahagian pendawaian elektrik bersama empat lagi rakan lain dan berpuas hati apabila ia dapat disiapkan tepat pada masanya.

“Tradisi ini juga akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang kerana ia dianggap warisan dan sangat rugi jika generasi muda seperti saya tidak menyambungnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 9:55 AM