Muhammad Apendy Issahak


SERAMAI 23 ahli kongsi gelap yang diberkas ketika upacara angkat sumpah di Sungai Siput kelmarin dikenalpasti sebagai Geng 360.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, sebelum ini kumpulan kongsi gelap itu tidak ada di Perak.

Menurutnya, semua ahli kongsi gelap yang ditahan berusia 22 hingga 55 tahun itu termasuk seorang wanita kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan.

"Tangkapan ahli kumpulan kongsi gelap di Sungai Siput disahkan adalah Geng 360 yang baru wujud di Perak.

"Sebelum ini kumpulan haram ini tiada ahli di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan 23 individu dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap ditahan ketika upacara angkat sumpah di sebuah premis di Taman Lintang Makmor, Sungai Siput.

Turut dirampas adalah dua ayam yang dipercayai digunakan untuk upacara angkat sumpah kumpulan kongsi gelap terbabit.

Sementara itu, dalam perkembangan sama beliau berkata, statistik tangkapan ahli kumpulan kongsi gelap mengikut Akta Pertubuhan 1966 oleh polis sejak Januari lalu hingga kini adalah seramai 105 orang.

"Jumlah kertas siasatan dibuka berdasarkan tangkapan itu adalah sebanyak 66 dengan enam daripadanya sudah dituduh manakala 14 lagi tidak diambil tindakan lanjut.

"Ahli kumpulan kongsi gelap yang paling ramai ditahan adalah Geng 04 dengan 40 tangkapan setakat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 3:37 PM