Ab Fattah (kanan) memakaikan topi kaledar kepada seorang penunggang motosikal dalam Kempen Keselamatan Jalan Raya
Ab Fattah (kanan) memakaikan topi kaledar kepada seorang penunggang motosikal dalam Kempen Keselamatan Jalan Raya
Ramli Ibrahim


DIANGGARKAN lebih 1 juta kenderaan akan masuk ke Kelantan sempena perayaan Aidilfitri bermula awal pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Ab Fattah Mahmood berkata, semua kenderaan itu akan mula masuk melalui tiga laluan utama iaitu Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh.

Beliau berkata, situasi itu akan menyebabkan kesesakan dan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih mengutamakan keselamatan diri, keluarga dan pengguna lain.

"Pada tahun ini, kita jangkakan lebih 1 juta kenderaan akan masuk ke negeri ini mulai pagi ini untuk menyambut Aidilfitri di kampung masing-masing.

"Oleh itu kita nasihatkan pengguna sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini," katanya selepas pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Kelantan di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rantau Manis, Gua Musang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jajahan Gua Musang Tuan Zainal Abidin Tuan Yusoff dan Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Rajab Ahad Ismail.

Ab Fattah mengakui beberapa jalan utama masuk ke Kelantan itu tidak dapat menampung jumlah kenderaan pada setiap musim perayaan kerana projek pembinaan jalan baru khususnya menghubungkan Kuala Krai-Kota Bharu, masih belum siap sepenuhnya.

"Apabila siap nanti ia mampu memberi keselesaan kepada pengguna sekali gus mengelakkan kesesakan lalu lintas," katanya.

Sementara itu, Rajab Ahad berkata, anggotanya sudah diarah membuat rondaan bagi memastikan tidak berlaku kesesakan serius khususnya Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan Kuala Lipis.

"Kita sudah memantau keadaan itu sejak awal pagi ini dan kelihatan pergerakkan semua kenderaan berjalan lancar di semua laluan utama berkenaan,"katanya.

Keterangan gambar

#kw 1 juta kenderaan, Kelantan, Aidilfitri

#loc 4.8842789999999994, 101.96817799999999

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 6:34 PM