Junaidi   melayari laman sesawang selepas merasmikan e-Tanah @ PPTG WPKL di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, semalam.
Junaidi melayari laman sesawang selepas merasmikan e-Tanah @ PPTG WPKL di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, semalam.
Siti Salmiah A Hamid


Kuala Lumpur: Kejadian banjir di Hulu Langat yang membabitkan lebih 100 rumah, Sabtu lalu, dipercayai akibat masalah pembuangan sampah ke dalam sungai yang menghalang aliran air.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, masalah itu menyebabkan sungai semakin cetek berikutan mendapan sampah-sarap.

“Saya mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran menjalankan kerja pembersihan dan proses mendalamkan Sungai Langat.

“Pada masa ini, projek tebatan banjir dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2018, sekali gus menjadi penyelesaian kepada masalah banjir di Hulu Langat dan sekitarnya,” katanya pada Majlis Pelancaran Sistem e-Tanah di Pejabat Tanah Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Kejadian banjir besar di Hulu Langat menyebabkan 440 mangsa membabitkan 111 keluarga terjejas.

Sehingga jam 3.30 petang semalam, 87 keluarga membabitkan 358 mangsa masih berada di empat pusat pemindahan sementara.

Mengulas mengenai sistem e-Tanah, Wan Junaidi berkata, projek itu bertujuan membangunkan sistem pengurusan dan pentadbiran tanah bersepadu melalui penggunaan komputer sepenuhnya.

“Ia bagi mencapai hasrat kerajaan melaksanakan kerajaan elektronik dalam perkhidmatan awam demi menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Sasaran utama sistem ini adalah pelanggan yang berurusan dengan Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Tanah dan Daerah di setiap negeri, sekali gus memudahkan hubungan interaksi antara kerajaan dan rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 7:06 AM