Ahmad Razif (dua kiri) meneliti dokumen yang ditandatangani oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Rahman Yahya (kiri) dan Ir Ab Hamid. FOTO Rozainah Zakaria
Ahmad Razif (dua kiri) meneliti dokumen yang ditandatangani oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Rahman Yahya (kiri) dan Ir Ab Hamid. FOTO Rozainah Zakaria
Helmy Abd Rahman


PENGGUNA Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang ingin masuk ke Kuala Terengganu hanya perlu mengambil masa 10 minit dari susur keluar Gemuroh sebelum melalui Jambatan Jeram, Kampung Tok Kong ke Bukit Guntong yang dibuka secara rasminya hari ini.

Sebelum ini, perjalanan dari susur keluar Ajil untuk ke bandar raya Kuala Terengganu mengambil masa kira-kira 45 minit.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, projek pembinaan jambatan dan jalan baru sepanjang 5.6 kilometer (km) serta naik taraf jalan sedia ada sepanjang dua kilometer itu, menelan kos sebanyak RM226 juta.

"Pada 29 Mei baru-baru ini, Jambatan Pulau Sekati sudah siap dan secara rasminya boleh diguna oleh penduduk dan pengguna jalan raya.

"Hari ini pula, satu lagi projek infrastruktur untuk rakyat iaitu jalan dan jambatan yang menghubungkan Jeram ke Kampung Tok Kong dan Bukit Guntong juga sudah siap dan boleh digunakan secara rasminya.

"Sebelum ini, saban tahun, apabila tibanya waktu puncak dan musim perayaan, masalah kesesakan trafik sering berlaku. Jalan atau jambatan sedia ada di Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Manir akan mencapai tahap kegunaan yang maksimum ekoran kapasiti trafik yang tinggi di waktu musim puncak.

"Projek ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan sekali gus memendekkan perjalanan ke pusat bandar raya Kuala Terengganu.

"Malah, jalan baharu sepanjang 5.6 kilometer ini bakal menghubungkan Kuala Terengganu dan LPT2 manakala bagi yang ingin ke Kuala Nerus boleh menggunakan Jambatan Sultan Mahmud ataupun Jambatan Pulau Sekati yang dibuka baru-baru ini," katanya selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Jalan dan Jambatan dari Kampung Jeram Tok Kong ke Bukit Guntong, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri Ir Rosli Othman dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Ir Abd Hamid Md Daud.

Projek terbabit sebelum ini tertangguh selama lima tahun berikutan terdapat sebilangan penduduk di Kampung Banggol Donas yang enggan berpindah dan membantah pengambilan tanah walaupun status kemajuan kerja ketika itu sudah mencapai 95 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 7:02 PM