SUJENTHIRAN menyiram  air mawar ke atas kubur bapa mentuanya.
SUJENTHIRAN menyiram air mawar ke atas kubur bapa mentuanya.
Fardy Bungga dan Amirul Aiman Hamsuddin


Rawang: “Kami menghormati keputusannya dan sedar ini pilihan bapa mentua,” kata S Sujenthiran, 29, menantu Umar Kumar Abdullah.

Ahad lalu, Umar Kumar Abdullah, 59, ditemui meninggal dunia selepas dipercayai diserang sakit jantung ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari aktiviti memancing di Bandar Tasik Puteri (BTP).

Bagaimanapun, mayat Umar hanya ditemui selepas tiga hari kehilangannya oleh pelatih kuda yang kebetulan melalui kawasan semak berhampiran.

Difahamkan, Umar memeluk Islam sejak Ogos 2012, manakala ahli keluarganya yang lain masih beragama Hindu.

Sebaik berita berhubung penemuan mayat mangsa diketahui ramai, penduduk beragama Islam di BTP segera membantu untuk menguruskan jenazahnya.

Sujenthiran berkata, dia mengetahui bapa mentuanya memeluk Islam atas kerelaan hati dan ahli keluarganya tidak pernah membantah.

“Walaupun mereka tahu mentuanya sudah beragama Islam, namun kami masih tinggal bersama dan menghormati cara hidup masing-masing.

“Kami sekeluarga bersepakat untuk menghormati undang-undang dan tiada bantahan bagi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menguruskan pengebumiannya.

“Kami tidak pernah bergaduh berhubung status agama bapa mentua,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Puteri, semalam.

Menurutnya, bapa mentuanya seorang yang pendiam dan hanya bercakap perkara mustahak.

“Arwah amat berdikari dan sering menawarkan diri membersihkan kebun dan kawasan semak. Hampir seluruh warga Bandar Tasik Puteri mengenalinya.

“Pernah beberapa kali bapa mentua saya itu membersihkan kawasan kejiranan dengan mengambil upah setakat ala kadar ,” katanya.

Sementara itu pelatih kuda, Sawi Ahmad, 62, berkata, dia yang menunggang kuda terkejut apabila menyedari mayat mangsa di kawasan dilaluinya.

“Saya kemudian segera membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Tasik Puteri.

“Saya tidak dapat mengecam mayat itu kerana keadaannya yang mula mereput. Namun, identiti mangsa berjaya dicam menantu Umar dan adik-beradiknya yang datang ke lokasi kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 6:59 AM