PENIAGA dakwa harga meningkat kerana bekalan berkurangan di pasaran.
PENIAGA dakwa harga meningkat kerana bekalan berkurangan di pasaran.
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Semakin hampir tiba perayaan, harga ayam dan daging di pasaran meningkat menyebabkan orang ramai terbeban dengan kenaikan harga barangan keperluan itu.

Situasi berkenaan sering membelenggu orang ramai terutama pada musim perayaan dengan alasan permintaan tinggi, selain pembekal perlu menanggung kos pengangkutan serta pengurusan yang meningkat.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Jalan Chow Kit dan Pasar Borong Selayang, Selangor mendapati memang berlaku peningkatan harga ayam dan daging termasuk harga barang keperluan lain seperti santan serta sayuran.

Harga ayam meningkat RM2 hingga RM3 sekilogram mencecah sehingga RM10 sekilogram berbanding pada hari biasa saja hanya sekitar RM7 hingga RM8 untuk sekilogram.

Peniaga ayam, Ismail Rahman, 35, berkata, kenaikan harga ayam disebabkan bekalan tidak mencukupi.

“Harga ayam segar masih lagi terkawal namun hanya naik sedikit saja berikutan bekalan tidak mencukupi, selain ia harga yang ditawarkan pembekal,” katanya ketika ditemui, di sini.

Penjual daging Hassan Mohamad Ramli, 40, berkata, harga kemungkinan meningkat lagi bergantung kepada permintaan semasa.

“Harga berkenaan sudah biasa memang akan naik setiap tahun dan pelanggan pula tak kisah kerana ianya hanya berlaku pada musim perayaan saja.

“Barangan keperluan seperti ayam dan daging akan mengalami masalah bekalan tidak mencukupi dan peniaga pula menjualnya berdasarkan harga yang ditawarkan pembekal,” katanya ketika ditemui, di sini.

Sementara itu, kakitangan swasta Ahmad Faiz Basrani Rami, 32, berkata, walaupun terasa dengan kenaikan harga barangan keperluan itu namun dia perlu membelinya awal kerana bimbang bekalan habis.

“Harga ayam di pasar raya pun naik dalam RM1 hingga RM2 sekilogram berbanding pasar biasa dan situasi ini berlaku setiap tahun dan pernah meningkat dua kali ganda sekali gus membebankan pengguna.

“Saya tidak kisah jika harga daging dan ayam meningkat mungkin ada beberapa faktor lain namun janganlah melampau hingga membebankan orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 9:23 AM