Hilmi  (kiri) meninjau kawasan masalah nyamuk aedes dan demam denggi di sekitar kawasan Pangsapuri Mutiara Perdana,Bayan Lepas. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Hilmi (kiri) meninjau kawasan masalah nyamuk aedes dan demam denggi di sekitar kawasan Pangsapuri Mutiara Perdana,Bayan Lepas. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Mohd Hilmi Mahmud


KES jangkitan dan kematian akibat denggi di daerah Barat Daya Pulau Pinang mencatatkan peningkatan dalam tempoh enam bulan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, jumlah kes denggi dicatatkan di kawasan Barat Daya adalah sebanyak 26 kes dan dua kes membabitkan kematian.

"Kes denggi yang dicatatkan sejak Januari tahun ini hingga Jun adalah sebanyak 26 kes. Dua kes membabitkan kematian seorang murid sekolah rendah berumur sembilan tahun Kelmarin dan seorang wanita berusia 30 an.

"Faktor pembiakan nyamuk aedes disebabkan terdapat banyak sampah sarap dibiarkan dan dibuang merata di kawasan ini,"katanya ketika melawat kawasan Pangsapuri Mutiara Perdana di Bayan Lepas, di sini, petang tadi.

Hilmi berkata, pengurusan sampah tidak betul dan tidak tersusun turut menyumbang kepada peningkatan kes denggi.

"Nyamuk bukan sahaja dapat membiak di kawasan air bertakung di dalam rumah. Ia dapat membiak di kawasan sampah sarap yang dibuang merata-rata.

"Penduduk di kawasan perumahan sepatutnya lebih peka terhadap sampah sarap yang menjadi tempat pembiakan nyamuk," katanya.

Sementara itu, mangsa denggi, Mariam Mahmud, 37, berkata dia dijangkiti denggi pada pertengahan  Mei lalu dan ditahan di wad selama dua minggu.

"Saya bersyukur tidak dijangkiti denggi berdarah namun ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

"Setiap jam doktor datang mengambil darah dan amat sakit. Saya berharap penduduk di kawasan perumahan ini dapat menjaga kebersihan agar denggi tidak berulang,"katanya.

Tinjaun Harian Metro di kawasan Pangsapuri Mutiara Perdana mendapati terdapat sampah sarap yang dibuang merata-rata serta tidak diuruskan dengan betul dan menyebabkan nyamuk Aedes membiak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 9:32 PM