NAJIB  menyerahkan geran 1 To 1 PIBG Tahun 2017 kepada Majlis Guru Besar untuk 32  sekolah dalam Parlimen Bukit Gantang.
NAJIB menyerahkan geran 1 To 1 PIBG Tahun 2017 kepada Majlis Guru Besar untuk 32 sekolah dalam Parlimen Bukit Gantang.

Taiping: Kerajaan mengambil kira keperluan semua komuniti termasuk golongan minoriti di negara ini bagi mendapatkan pendidikan sewajarnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, jika mengikut hukum akal golongan minoriti seperti masyarakat India yang bilangan penduduk cuma 7.3 peratus tidak sepatutnya memiliki aliran sekolahnya sendiri.

Beliau berkata, namun di bawah kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN), kerajaan mewujudkan sekolah Tamil di seluruh negara sehingga bilangannya sudah mencecah 523 sekolah.

“Saya juga bersetuju menubuhkan tujuh sekolah baru menjadikannya 530 sekolah Tamil di seluruh negara.

“Kerajaan sudah melancarkan pelan induk masyarakat India untuk masyarakat India bagi tempoh 10 tahun akan datang membabitkan pelbagai aspek seperti pendidikan, keusahawanan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas melakukan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Kaya di Taman Sungai Mas, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Kesihatan yang juga Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan.

Najib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Hal Ehwal Masyarakat India, berkata kerajaan memperuntukkan RM7.8 juta bagi membina satu blok bangunan tiga tingkat di kawasan seluas 1.44 hektar bagi pembangunan SJKT Taman Kaya yang dijangka siap pada Jun tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 3:51 AM