Siti A'isyah Sukaimi


SEORANG pengarah syarikat logistik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang, hari ini, bagi menghadapi 21 pertuduhan membuat pengikraran tidak benar dalam borang kastam berhubung pengimportan kanta lekap.

Tertuduh, Rizan Jantan, 47, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Norul Fitri Hamdan.

Rizan yang juga ejen dilantik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa melakukan kesalahan itu antara 6 Januari 2015 hingga 17 Mac 2015.

Pegawai pendakwa, Mohd Roezamir Mohd Rozman berkata, jumlah keseluruhan cukai jualan yang perlu dibayar ialah RM311,052.75 namun yang dibayar hanya RM29,494.03, berbeza RM281,558.72.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 311(1)(a) Akta Kastam 1967 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 133(1) akta yang sama membawa hukuman denda tidak lebih RM500,000 atau hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Berikutan itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin manakala pasportnya terbabit ditahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah ikat jamin dikurangkan dengan alasan menanggung isteri tidak bekerja serta sedang sakit menjalani dialisis.

Tertuduh memberitahu mempunyai tiga anak dengan dua sedang belajar di universiti.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 1:20 PM
Rizan Jantan ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang, hari ini.  - Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR
Rizan Jantan ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang, hari ini. - Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR