SUGIDRAN dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
SUGIDRAN dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
Sarah Zulkifli

Petaling Jaya: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, semalam atas tiga pertuduhan merogol, seks luar tabii dan rompak berkumpulan terhadap dua pekerja kafe siber di Bandar Kinrara, Puchong, yang video kejadian itu menjadi tular di media sosial.

Tertuduh, B Sugidran, 26, peniaga besi buruk mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap penjaga kaunter premis itu, seorang wanita warga Indonesia berusia 33 tahun di No B-17-0, Kinrara Niaga, Jalan BK 5A/2D, Puchong, di sini pada jam 10 pagi, 11 Mei lalu.

Selain itu, dia turut didakwa bersama-sama seorang lagi yang sudah meninggal dunia melakukan rompak berkumpulan terhadap rakan sekerja mangsa, lelaki warga Bangladesh berusia 34 tahun membabitkan kerugian RM400.

Bagi kesalahan rogol dan seks luar tabii, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 dan 377C Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabit kesalahan.

Bagi kesalahan merompak, dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Sugidran turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul kehormatan wanita Indonesia itu pada masa, tarikh dan tempat sama.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya V P Suloshani dan Fazeedah Faik tidak menawarkan sebarang jaminan mengambil kira faktor keseriusan jenayah yang dilakukan serta kepentingan awam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pada 19 Mei lalu, rakan tertuduh mati akibat terjatuh dari tingkat 12 pangsapuri PPR Seri Semarak, Setapak, Kuala Lumpur dipercayai cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota polis yang mahu menahannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 5:43 AM