MOHD Nadzri bersama Muhammad Hakimi dan Hanisah.
MOHD Nadzri bersama Muhammad Hakimi dan Hanisah.
Amrullah Abdul Karim

Bukit Beruntung: Kerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan hanya RM800 sebulan membataskan kemampuan Mohd Nadzri Ariffin, 52, menanggung keperluan isteri dan anak bongsunya yang dikategorikan orang kurang upaya (OKU).

Isterinya, Hanisah Ibrahim, 49, mengalami kecacatan selepas diserang strok sejak Ogos 2012 dan tidak mampu menguruskan diri termasuk makan minum.

Anak bongsunya pula, Muhammad Hakimi Mohd Nadzri, 20, cacat sejak berusia tiga bulan selepas demam panas dan diserang sawan.

Menurut Mohd Nadzri, dia hanya bekerja pada waktu malam bagi membolehkan dia serta anak sulung lelaki berusia 23 tahun menjaga isteri dan anak bongsu pada siang hari.

“Apabila malam, anak sulung yang tidak bekerja dan anak perempuan berusia 22 tahun mengambil alih peranan itu.

“Walaupun anak perempuan bekerja, dia tidak dapat membantu membeli keperluan emak dan adiknya sebab gaji tidak seberapa,” katanya ketika ditemui pada ziarah kasih Persatuan Kebajikan Amal Insan Budi (IB) di rumahnya di Pangsapuri Dahlia, Taman Bunga Raya, di sini.

Mohd Nadzri berkata, dia hanya memikirkan keperluan lampin pakai buang dan makanan khas untuk isteri dan anak bongsunya yang tidak mencukupi.

Menurutnya, selama ini isteri dan anaknya hanya menerima makanan seperti roti jenama Gardenia dan air laici Drinho kerana mereka menolak jika diberikan makanan selain daripada itu.

“Bayaran rumah yang dibeli oleh isteri ketika dia sihat pada 2005 tertunggak lebih tiga bulan berjumlah RM1,260.

“Kereta yang dibelinya turut tertunggak dan terpaksa disorok kerana bimbang ditarik bank,” katanya.

Katanya, dia bercadang membawa isterinya mendapatkan rawatan namun terpaksa membatalkan hasrat itu disebabkan masalah kewangan.

Muhammad Hakimi menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 sebulan namun ia masih tidak mencukupi.

Menurutnya, sejak tiga bulan kebelakangan ini bekalan makanan keperluan harian semakin berkurangan dan dia hanya mampu membeli apa yang perlu.

“Saya masih sihat dan boleh bekerja tetapi perlu menjaga anak dan isteri.

“Tapi kalau keluarga saya dilihat layak mendapat bantuan, salurkanlah bantuan yang bersesuaian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 5:15 AM