Kalidevi Mogan Kumarappa


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lelaki berusia 54 tahun disyaki meminta wang suapan RM70, 000 kononnya untuk menutup kes yang disiasat agensi itu.

Suspek difahamkan meminta wang suapan daripada seorang kenamaan yang sedang disiasat oleh SPRM untuk menutup fail kes membabitkannya.

Menurut sumber, suspek ditahan di hotel di Kuala Lumpur bersama kira-kira RM20,000 tunai, pada 9.30 malam tadi.

Difahamkan, suspek yang bekerja di sebuah agensi media akan memberitahu orang kenamaan itu bahawa dia mempunyai kenalan di SPRM dan mampu menyelesaikan kes membabitkannya disiasat SPRM.

Suspek dijangka dibawa ke mahkamah Putrajaya untuk direman, hari ini, bagi membantu siasatan SPRM mengikut seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata SPRM memandang serius perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 10:11 AM