Pegawai dan anggota MIB Polis Kontinjen Johor meronda di kawasan-kawasan strategik di Johor. FOTO Ihsan PDRM
Pegawai dan anggota MIB Polis Kontinjen Johor meronda di kawasan-kawasan strategik di Johor. FOTO Ihsan PDRM
Izlaily Nurul Ain Hussein


JABATAN Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor mengaktifkan pasukan membabitkan 10 pegawai dan 57 anggota berpakaian Man In Black (MIB) di seluruh negeri, semalam bagi memantau keadaan di tempat awam dan tumpuan sebagai pencegahan jenayah dan memberi keyakinan kepada masyarakat.

Ketua JSJ Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tindakan itu diambil berikutan berlakunya kegiatan samun keluar bank membabitkan kerugian RM50,000 yang berlaku di Johor Bahru, petang semalam.

Selain itu, beliau berkata, tindakan kehadiran pasukan berpakaian MIB itu juga bagi mencegah ancaman Daish di negeri ini.

"Tindakan pencegahan oleh pasukan JSJ di seluruh Johor dengan berpakaian MIB ini untuk memberi kenyakinan kepada masyarakat di tempat tumpuan orang ramai atau kedai, pasar raya dan lain-lain, termasuk untuk mencegah ancaman Daish.

"Ini kerana semalam, berlaku kejadian samun terhadap mangsa yang baru mengeluarkan wang RM50,000 dari sebuah bank dan meletakkannya di dalam kereta ketika berhenti selepas keluar dari bank berkenaan.

"Kita mahu mengingatkan orang ramai tentang kegiatan seumpama ini yang mengambil kesempatan atas kecuaian orang lain," katanya.

Beliau berkata, pasukan JSJ yang diaktifkan itu membabitkan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini iaitu Muar, Tangkak, Segamat, Kluang, Mersing, Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru Utara (JBU), Johor Bahru Selatan (JBS), Seri Alam, Iskandar Puteri, Kulai dan Kota Tinggi.

Katanya, dalam penugasan semalam, seramai 217 orang diperiksa termasuk 69 warga asing terdiri daripada warga Indonesia, Singapura, Bangladesh, Nepal dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 12:14 PM