HARI pertama Ramadan mendapati harga ayam bersih, di Alor Setar, meningkat kepada RM8.50 sekilogram (kg) berbanding RM7.80 kg sebelum ini.

Tinjauan di Pasar Besar Alor Setar mendapati, kebanyakan peniaga memberikan alasan ia disebabkan kenaikan harga ladang sejak tiga hari lalu.

Peniaga ayam, Mohd Lutfi Abdul Ghani, 57, berkata sejak berlaku kenaikan harga itu, dia mengehadkan stok kepada 70 ayam sehari kerana khuatir tidak habis berbanding 100 ayam sehari.

“Memang ada pengguna merungut, tetapi ada juga yang faham. Kami peniaga tak boleh buat apa sebab harga ayam di ladang pun dah mahal.

“Dulu harga ladang RM5.90 tetapi kini naik sehingga RM6.40. Penternak memberikan alasan kenaikan itu disebabkan harga makanan ayam naik dan petrol dan diesel naik menyebabkan kos pengangkutan naik,” katanya ketika ditemui.

Peniaga ayam, Wan Ahmad Fauzi Wan Ramli, 46, berkata, kenaikan harga ayam ketika ini turut berpunca daripada permintaan ayam yang meningkat daripada pengguna berikutan kenaikan harga ikan kembong.

Sementara itu, pengguna, Syed Ahmad Syed Abu Bakar, 47, berkata, kenaikan harga ayam amat mengecewakan dan membebankan rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan mempunyai anak ramai.

“Terpaksa beli ja lah untuk keluarga... harga naik, turun pun terpaksa beli ,” katanya.

Tinjauan juga mendapati tiada seorang peniaga pun yang menjual ikan kembong di pasar terbabit dan hanya terdapat tongkol, selayang, cencaru, tamban, jenahak dan nyok-nyok.

Harga bagi tongkol kini RM10 bagi setiap sekilogram berbanding RM8 kg, ikan selayang RM10 berbanding RM7, ikan cencaru RM9 (RM8), ikan tamban RM5 (RM4), ikan jenahak dan ikan nyok-nyok RM28 kg berbanding RM24 kg.

Tinjauan juga mendapati harga daging lembu tempatan naik kepada RM32 kg berbanding RM29 hingga RM30 sebelum ini.

Beberapa pengguna yang ditemui meminta Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kedah dapat membuat pemantauan untuk membendung kenaikan mendadak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2017 @ 5:46 PM