Wan Rukman (tiga kanan) bersama pegawai siasatan menunjukkan barang yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. FOTO Roslin Mat Tahir
Wan Rukman (tiga kanan) bersama pegawai siasatan menunjukkan barang yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. FOTO Roslin Mat Tahir
Siti Nor Amirah Abu Bakar


JABATAN Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor menahan 19 warga China kerana dipercayai terbabit dengan aktiviti penipuan Macau Scam dalam serbuan di Taman Subang Mewah, Subang Jaya, malam tadi.

Dalam satu serbuan 11.30 malam itu, sepasukan anggota JSJK Selangor menahan 14 lelaki dan lima wanita warga China berusia antara 17 hingga 40 tahun.

Ketua JSJK Selangor Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan berkata, sindiket itu dipercayai mula beroperasi sejak tahun lalu dan sehingga kini kerugian dilaporkan membabitkan RM17 juta.

"Serbuan dilakukan di sebuah rumah banglo mewah yang dijadikan markas kumpulan itu sejak tiga bulan lalu.

"Turut dirampas sebuah Honda CRV, komputer, sembilan kad Union Pay daripada pelbagai bank, telefon bimbit pelbagai jenama, satu unit router dan modem Wifi,” katanya hari ini.

Wan Rukman berkata, dari Januari hingga Mei tahun ini, 158 kertas siasatan dibuka di seluruh negeri berhubung kes penipuan Macau Scam yang membabitkan kerugian RM7 juta.

Semua suspek direman empat hari sehingga 28 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara 10 tahun dengan sebatan dan denda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2017 @ 4:14 PM