Hafidzul Hilmi Mohd Noor


JABATAN Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menahan seorang wanita berusia 25 tahun dipercayai terbabit dengan kegiatan penipuan penjualan dalam talian di Setapak, Kuala Lumpur, semalam.

Timbalan Pengarah (Siasatan Siber dan Multimedia) JSJK Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, turut ditahan dua lelaki berusia 22 tahun dipercayai rakan suspek yang aktif melakukan kegiatan berkenaan sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek akan menghubungi mangsa yang mengiklankan penjualan telefon pintar di sebuah laman web dan menyatakan minat untuk membeli serta bertemu dengan mangsa.

"Ketika bertemu suspek menunjukkan resit palsu kononnya wang sudah dipindahkan ke akaun bank mangsa dan mendesak mangsa menyerahkan telefon berkenaan kerana perlu bergegas pulang ke Johor.

"Tanpa membuat sebarang pemeriksaan, mangsa percaya dengan dakwaan suspek dan menyerahkan telefon pintar berkenaan. Bagaimanapun mangsa mula menyedari ditipu selepas mendapati tiada sebarang pemindahan wang di dalam akaunnya," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, pihaknya percaya dengan penahanan suspek polis berjaya menyelesaikan 14 kes penipuan dalam talian dilakukan mereka dengan nilai kerugian berjumlah RM39,580.

"Suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 kanun keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2017 @ 3:46 PM