GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

POLIS menahan seorang pemandu Uber yang melarikan diri selepas menyamun jurujual kosmetik yang menggunakan perkhidmatan itu pada Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Lee Wai Leong, berkata lelaki berusia 22 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di kawasan Rehat dan Rawat Pagoh, Muar, arah utara pada 11 malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas kereta jenis Proton Saga BLM berwarna hitam dan pemeriksaan mendapati suspek yang beralamat di Kulim, Kedah, memiliki dua rekod jenayah lampau.

"Suspek ditahan reman seminggu bermula hari ini hingga 31 Mei depan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian Ahad lalu, seorang wanita berusia 26 tahun yang menempah perkhidmatan Uber dari sebuah pusat beli-belah di Bangsar untuk pulang ke rumahnya di Bandar Puchong Jaya, Puchong, disamun pemandu dan seorang lagi lelaki yang berada di tempat duduk penumpang.

Penumpang lelaki itu dikatakan mengacukan pisau ke arah mangsa dan mengarahkannya menyerahkan barangan peribadi sebaik tiba di pusat perniagaan berhampiran One Puchong.

Lee berkata, polis sudah mengenal pasti seorang lagi suspek berdasarkan penelitian rakaman kamera litar tertutup di sebuah stesen minyak dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 8:25 PM