GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PEMANDU Uber berusia 22 tahun yang menyamun penumpangnya di Puchong, Ahad lalu ditahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh, Johor, 11 malam semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang Superintenden Lee Wai Leong berkata, lelaki itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang selepas menerima maklumat awam.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau.

"Polis turut merampas kereta jenis Proton Saga BLM yang digunakan untuk menyamun mangsa.

"Usaha untuk mengesan seorang lagi suspek giat dijalankan. Suspek yang ditahan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 kanun keseksaan,"katanya.

Dalam kejadian Ahad lalu, jurujual wanita berusia 26 tahun menempah perkhidmatan kenderaan berkenaan dari pusat beli-belah di Bangsar untuk pulang ke rumahnya di Bandar Puchong Jaya, Puchong dekat sini.

Sebaik tiba di pusat perniagaan berhampiran One Puchong suspek tiba-tiba mengacukan pisau ke arah mangsa dan mengarahkan supaya menyerahkan barangan peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 5:06 PM