Sharil  menunjukkan tempat dimasuki pencuri.
Sharil menunjukkan tempat dimasuki pencuri.

Slim River: Seorang pemilik restoran buntu mengenang nasib apabila premis perniagaannya sudah 11 kali dipecah masuk pencuri sejak tahun lalu hingga mengakibatkan kerugian wang tunai serta terpaksa mengeluarkan modal untuk membaiki kedai dan menambah keselamatan kedai.

Mangsa Sharil Rizal Ishak, 39, berkata restorannya yang terletak di Jalan Tol Lama, di sini, itu sering dipecah masuk pencuri walaupun pelbagai usaha mempertingkatkan keselamatan kedai sudah dilakukannya, namun pencuri dilihat lebih ‘kreatif’ dan masih mampu membolosi dengan kejadian terbaru awal pagi semalam.

Sharil Rizal berkata, restorannya dimasuki kira-kira jam 3 pagi kelmarin dan disedari isterinya Sharifah Hanim,49, apabila melihat tabung berselerak dan tingkap kedai terbuka.

“Pencuri ini memang bijak mencari tempat untuk masuk dan saya tidak tahu apa lagi ingin dilakukan untuk menyekat premis perniagaan saya dipecah masuk.

“Sebelum ini, pencuri mengumpil tingkap selepas besi jeriji dipotong, namun selepas diperbaiki mereka masih mampu membolos masuk.

“Setakat ini, saya sudah kerugian kira-kira RM2,000 dan rasa seperti mahu tidur di luar restoran bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.

Menurutnya, tiga laporan polis sudah dibuat berhubung kecurian yang dialami dan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan untuk memberkas penjenayah yang melakukan kegiatan pecah kedai berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 8:20 AM