Anggota SPRM mengiringi  dua lelaki termasuk seorang bergelar Datuk keluar dari pekarangan Mahkamah Majistret Alor Setar selepas mendapat perintah tahanan reman.
Anggota SPRM mengiringi dua lelaki termasuk seorang bergelar Datuk keluar dari pekarangan Mahkamah Majistret Alor Setar selepas mendapat perintah tahanan reman.
Suzalina Halid


Alor Setar: Dua lagi lelaki termasuk seorang bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berhubung kes rasuah bagi meluluskan permit kerja golongan ekspatriat atau profesional warga asing dengan nilai suapan berjumlah lebih RM20 juta.

Penangkapan mereka menjadikan keseluruhan lima suspek ditahan SPRM sejak Isnin hingga semalam berhubung kes rasuah bernilai RM20 juta dipercayai dilakukan suspek utama dalam tempoh setahun sejak 2015.

Seorang daripada mereka yang berusia 37 tahun dan berasal dari Jitra, dekat sini, ditahan di sebuah rumah di Petaling Jaya, Selangor, 9.30 malam kelmarin manakala individu bergelar Datuk berusia 53 tahun berasal dari Pulau Pinang pula ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 11 malam.

Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke pejabat SPRM negeri sebelum direman di Mahkamah Majistret, dekat sini, semalam bagi membantu siasatan.

Majistret Naziah Mohd Alias membenarkan kedua-dua suspek yang bekerja sebagai kontraktor pembinaan, selain mempunyai syarikat mengendalikan pusat cuci kereta itu ditahan reman selama tujuh hari hingga Selasa.

Kelmarin, SPRM menahan pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berusia 37 tahun disyaki dalang utama bagi meluluskan permit kerja golongan ekspatriat atau profesional warga asing dengan nilai suapan berjumlah lebih RM20 juta.

Susulan penahanan suspek utama itu, SPRM turut merampas pelbagai barangan dan aset bernilai RM2.5 juta termasuk enam kenderaan mewah dan sijil simpanan tetap berjumlah hampir RM1 juta di rumahnya di Jitra.

Pada hari sama, SPRM Kedah turut menahan dua lagi lelaki membabitkan pegawai JIM di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar serta kontraktor yang disyaki berperanan sebagai pemegang amanah kepada suspek utama.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana meminta atau menerima rasuah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda daripada nilai suapan.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 3:52 AM