KESAN  kebakaran sebuah rumah teres di Jalan Jelawat 5, Taman Sri Putra, semalam.
KESAN kebakaran sebuah rumah teres di Jalan Jelawat 5, Taman Sri Putra, semalam.
myMetro

TINDAKAN pantas seorang lelaki dan juga wanita melarikan diri melalui tingkap rumah mereka berjaya menyelamatkan kedua-duanya daripada menjadi mangsa kebakaran.

Dalam kejadian jam 7.25 pagi semalam, rumah teres dua tingkat mereka di Jalan Jelawat 5, Taman Sri Putra, Banting dekat sini, terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Mohd Jaslizad Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.31 pagi dan dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan 17 anggota dan pegawai bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika tiba di lokasi, kami dapati sebuah rumah teres dua tingkat sudah terbakar 30 peratus di bahagian ruang tamu.

“Kami melakukan kerja pemadaman dengan menggunakan air dari tangki jentera bomba,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berjaya memadamkan kebakaran itu pada jam 8 pagi.

“Anggota bomba kemudian melakukan pemeriksaan untuk memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan anggota unit forensik bomba masih menjalankan siasatan berhubung punca serta jumlah kerugian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 5:25 AM