Anggota bomba  membantu mengeluarkan mangsa kebakaran di bilik hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuching.
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa kebakaran di bilik hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuching.
Alif Amal Azahari


Kuching : Seorang wanita berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam bilik yang diselubungi asap tebal akibat tilam terbakar di Hotel Hoover Room, Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.52 pagi itu, mangsa Nurul Naimah Abdullah, 27, hanya mengalami sesak nafas selepas terhidu asap yang memenuhi ruang bilik hotel terbabit.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.54 pagi.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuching digerakkan ke lokasi. Sebaik tiba, kebakaran dipadamkan pekerja hotel berkenaan dan mangsa dikeluarkan.

“Mangsa dalam keadaan lemah dan sesak nafas akibat terhidu asap kebakaran dan sudah diberi rawatan lanjut,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Tiong berkata, ketika operasi, anggota bomba hanya memadam sisa api di tilam dalam bilik hotel berkenaan.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.40 pagi. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:06 AM