KRU produksi  filem pendek 13 Conspiracy  memenangi kategori Filem Pendek Terbaik Keseluruhan sempena Festival Cinemini 2017.
KRU produksi filem pendek 13 Conspiracy memenangi kategori Filem Pendek Terbaik Keseluruhan sempena Festival Cinemini 2017.
Garret Dawum


Kuala Lumpur: Dokumentari berjudul Umar Mita: Making The Move hasil karya pelajar tahun akhir Sarjana Muda Seni Visual dan Pengkomputeran (FCVAC), Fakulti Komunikasi, Universiti Selangor (UNISEL) mendapat perhatian syarikat produksi selepas dimuat naik menerusi YouTube beberapa bulan lalu.

Pengerusi Festival Cinemini Unisel 2017, Mazlan Ismail berkata, beliau sudah menghubungi syarikat berkenaan dan semuanya masih dalam perbincangan.

“Saya tidak sangka dokumentari lima minit itu menjadi tumpuan dan wakil syarikat itu mahu menjalin kerjasama dengan kami bagi menghasilkan dokumentari travelog secara bersiri.

“Karya kreatif itu hanya projek tahun akhir pelajar saya untuk subjek animasi dan video. Apabila ada yang memberi maklum balas, semestinya saya merasakan video dihasilkan pelajar berkualiti dan bermutu,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah festival itu di Auditorium Balai Seni Negara, di sini, semalam.

Umar Mita: Making The Move antara 25 karya kreatif pelajar Unisel sempena Festival Cinemini yang diadakan untuk mempersembahkan karya berproduksi kecil oleh pelajar Unisel.

Menurut Mazlan, kali pertama festival itu diadakan pada 2009 dan mulanya hanya tayangan karya video pendek dan animasi.

“Namun, bagi memeriahkannya kami memberi anugerah kepada karya terbaik menerusi beberapa kategori seperti Animasi 2D Terbaik, Animator 2D Terbaik, Animasi 3D Terbaik, Animator 3D Terbaik, Dokumentari Terbaik, Poster Terbaik, Skrip Terbaik, Sinematografi Terbaik, Pengarah Seni Terbaik, Pengarah Terbaik, Filem Pendek Terbaik dan Filem Terbaik Keseluruhan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 6:05 AM