DR Raja Barizan  menunjukkan pokok api-api selepas dihakis ombak.
DR Raja Barizan menunjukkan pokok api-api selepas dihakis ombak.

Kuala Lumpur: Konsep Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (SFM)diamalkan bagi menjamin sumberhutan dapat menyumbang pengeluaran pelbagai hasil hutan dan perkhidmatan secara mampan.

Antara aspek penting yang perlu diambil kira dalam pengurusan hutan adalah penetapan kup tahunan atau catuan tebangan tahunan (CTT) sepertimana dianggarkan 1,100 hektar kawasan hutan paya laut di Hutan Simpan Matang, Perak dibenarkan dibuka untuk penebangan pokok bakau.

Langkah yang dijalankan Jabatan Perhutanan itu adalah sebagai usaha dalam memulih dan memulihara ekosistem paya bakau untuk terus kekal, tidak terancam dan mengalami kemusnahan.

Felo Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Suhaili Rosli berkata, prinsip dan pendekatan pengurusan hutan paya laut berasas kepada amalan Pengurusan Sumber Secara Berkekalan bagi menjamin kemampanan hutan untuk keperluan generasi akan datang tidak terjejas.

“Pada asasnya, mempraktikkan amalan baik dalam pengurusan hutan paya laut melalui pendekatan pelbagai guna sumber (multiple use) dapat mengoptimumkan sumbangan faedah ekonomi, sosial dan alam sekitar dengan meningkatkan nilai tambah.

“Selain itu, pembabitan aktif pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya laut di negara ini sangat penting selaras dengan konsep hutan untuk kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Menurut Suhaili, pokok bakau yang sangat berguna untuk penghasilan arang, kayu jaras dan kayu api diurus melalui prinsip pengurusan secara berkekalan dengan mengamalkan pusingan tebangan 30 tahun di Perak, 25 tahun di Selangor dan 20 tahundi Johor.

“Pokok yang matang selalunya akan ditebang habis (clear-felled) mengikut kawasan tertentu.

“Bagaimanapun, hanya pokok bersaiz melebihi perepang 7.5 sentimeter saja yang akan dikeluarkan. Kayu bakau untuk arang dipotong sepanjang 1.6 meter dan kayu api sepanjang 1.5 meter seperti yang dilaksanakan di Hutan Simpan Matang oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

“Tunggul dan sisa-sisa tebangan akan ditinggalkan untuk proses pereputan dan struktur tanah dapat dikekalkan. Jika selepas dua tahun didapati tiada pertumbuhan anak benih atau tidak mencukupi maka kawasan ini akan ditanam dengan spesies bakau minyak (Rhizophora apiculata) atau bakau kurap (Rhizophora mucronata),” katanya.

Tambahnya, penyediaan Rancangan Pengurusan Hutan adalah selaras dengan Seksyen 10(1) yang menetapkan supaya hutan simpan dikelaskan mengikut fungsi hutan iaitu pengeluaran kayu di bawah perolehan berkekalan, perlindungan tanah, tebus guna tanah, kawalan banjir, tadahan banjir, perlindungan hidupan liar, simpanan hutan dara, hutan lipur, hutan pelajaran, hutan penyelidikan dan bagi maksud persekutuan.

“Aspek tadbir urus hutan paya laut membabitkan penggubalan, terima pakai dan penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Perhutanan Negara 1984di Semenanjung, Enakmen Hutan1968 (Sabah) dan Forest Ordinance 2015 di Sarawak.

“Kawasan hutan paya laut yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) atau Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) adalah di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri masing-masing,” katanya.

Menurut Suhaili, penyelidikan terkini dan pengenalan teknik inovatif adalah input baru yang diperlukan dalam pemuliharaan hutan paya laut bagi menghadapi isu seperti perubahan iklim dan kenaikan paras air laut serta hakisan pantai.

“Kajian berkaitan ekosistem, pengurusan dan pembangunan hutan paya laut sudah banyak dijalankan ahli penyelidik.

“Sejak awal 1930-an hingga 2014, lebih 50 kajian saintifik dijalankan penyelidik dari dalam dan luar negara berkenaan hutan paya laut dan hasil penemuan kajian membantu dalam usaha melindungi dan menguruskannya dengan baik berdasarkan kepentingan dan kepelbagaian fungsi ekosistemnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 8:19 AM