DR Amin (kiri) melawat gerai jualan dan pameran pada majlis Pelancaran Kem Membaca 1Malaysia, semalam.
DR Amin (kiri) melawat gerai jualan dan pameran pada majlis Pelancaran Kem Membaca 1Malaysia, semalam.

Kuala Lumpur: Bagi mempertingkatkan literasi pembacaan dalam kalangan pelajar di sekolah, program Nilam akan diperkemaskan lagi pada tahun depan dengan memasukkan pembacaan digital.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata, program Nilam 2.0 dijadual dilancarkan pada tahun depan dengan memperkemaskan lagi sukatan program sebelum ini.

“Sejak program Nilam dilaksanakan pada 1999, peningkatan pembacaan dalam kalangan murid memang sangat baik dan ia adalah satu program yang berjaya.

“Namun, sejak perkembangan teknologi maklumat yang semakin pesat, anak-anak generasi baru ini lebih terdedah kepada capaian Internet, mereka sudah kurang mengenali fizikal buku itu sendiri.

“Jadi untuk itu, kita akan perkemaskan lagi program ini. Elemen pembacaan digital akan dimasukkan. Ini akan meningkatkan minat anak-anak generasi baru,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Amin hadir merasmikan Majlis Pelancaran Kem Membaca 1Malaysia Peringkat Kebangsaan di Bahagian Teknologi Pendidikan, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 3:39 AM