MAYAT mangsa yang meninggal dunia kibat renjatan elektrik dalam kejadian di pekan Membakut, kelmarin.
MAYAT mangsa yang meninggal dunia kibat renjatan elektrik dalam kejadian di pekan Membakut, kelmarin.
Mohd Ruzaini Zulkepli


Beaufort: Seorang pekerja pemasangan sistem audio visual meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja penyelarasan di pentas dewan berhampiran pekan Membakut, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, Abd Syafrie Wandi Abd Asis, 36, dari Kampung Kauran, Keningau meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama rakan dikatakan menjalankan kerja pemasangan dan penyelenggaraan sistem audio visual di pentas berkenaan bagi satu majlis kesenian Islam yang dijadualkan berlangsung di dewan itu.

“Bagaimanapun, sebaik membuat pemasangan, mangsa tiba-tiba rebah dipercayai terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi,” katanya.

Katanya, mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Membakut oleh rakan sekerja.

Namun, dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan petugas perubatan di klinik berkenaan.

“Kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 12:19 AM