Nur Izzati Izzah Nadzi


Shah Alam: Statistik Jabatan Insolvensi menunjukkan seramai 1,157 individu tempatan berusia 25 tahun ke bawah diisytiharkan muflis sejak empat tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Azaddin Ngah Tasir berkata, faktor sikap dan kekurangan pengetahuan menyebabkan generasi muda tempatan gagal menguruskan kewangan mereka.

“Berdasarkan kenyataan Jabatan Insolvensi, wujud kes membabitkan individu di bawah usia 25 tahun yang muflis dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

“Keadaan itu memberi kesan negatif kepada mereka dalam laporan kredit (CCRIS) dan menjejaskan permohonan baru dengan institusi kewangan pada masa depan,” katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi Naib Canselornya Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said di sini, semalam.

Kata Azaddin, kes kebankrapan membabitkan kad kredit mencatatkan 75 peratus kes, manakala selebihnya berkaitan pinjaman peribadi.

“Kebiasaannya, mereka tidak membayar pinjaman pada masa yang ditetapkan dan membayar jumlah minimum kad kredit yang membuatkan jumlah pinjaman menjadi berlipat kali ganda.

“Mereka perlu memahami dan meneliti status kredit supaya sentiasa memiliki rekod bersih untuk kepentingan masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 8:38 AM