MAYAT mangsa  ditemui terbaring selepas dialihkan orang awam.
MAYAT mangsa ditemui terbaring selepas dialihkan orang awam.
myMetro

Kuala Lumpur: Seorang penjenayah dikehendaki polis ditemui mati dalam keadaan misteri apabila mayatnya tergantung pada pokok.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari semalam, mangsa berusia 33 tahun ditemui di tepi jalan berdekatan sekolah di Taman Sri Sinar, Segambut, di sini.

Sumber berkata, mangsa ditemui orang awam dalam keadaan tergantung sebelum memaklumkannya kepada polis.

Bagaimanapun mayat mangsa didapati dialihkan orang awam sebelum polis tiba di lokasi.

Katanya, siasatan menemui tali pada pokok berhampiran mayat mangsa.

“Pemeriksaan tidak menemui kesan kecederaan kecuali di bawah dagu disyaki kesan jerutan tali.

“Polis turut menemui peralatan menghisap dadah pada mayat selain lesen memandu dan salinan laporan polis di dalam poket seluarnya.

“Semakan mendapati mangsa mempunyai rekod dikehendaki polis berhubung kes dadah di Teluk Intan, Perak sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan hasil bedah siasat tidak menemui sebarang unsur jenayah pada tubuh mangsa.

“Mangsa dipercayai mati lebih kurang tiga jam sebelum mayat ditemui. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 9:46 AM