MASITAH bersama empat cucunya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
MASITAH bersama empat cucunya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Nur Syazwana Mansor
am@hmetro.com.my


Sik: Episod duka empat beradik yang baru kematian bapa, Januari lalu, berlarutan apabila datuk mereka yang menggalas tanggungjawab ketua keluarga dijemput Ilahi, kelmarin, kerana penyakit tulang belakang dan bengkak hati.

Selepas kematian bapa, Mohd Helmi Mohd Noor, 34, akibat disengat lebah, Muhammad Danish Fitri, 9, dan tiga adiknya, Muhammad Danish Adha, 7, Mohd Danish Faris, 3, dan Mohd Danish Asraf, 10 bulan, dipelihara datuk dan nenek mereka, Mohd Noor Ibrahim dan Masitah Hamzah, masing-masing berusia 64 tahun.

Menurut Masitah, arwah suaminya seorang pemandu kontena mengambil alih tanggungjawab menjaga cucu demi memastikan kehidupan mereka terjamin.

Katanya, Muhammad Danish Fitri, Muhammad Danish Adha dan Muhammad Danish Faris menjadi yatim piatu apabila ibu mereka, Halimatun Saadiah Mohd Suhaimi meninggal dunia akibat penyakit talasemia pada Julai 2014.

“Cucu keempat, Muhammad Danish Asraf adalah anak arwah anak (Mohd Helmi) dengan isteri kedua, Nor Atikah Md Zahar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru, Seri Dacing, di sini, semalam.

Masitah berkata, sebulan lalu, kesihatan suaminya merosot dan tidak dapat bekerja kerana terpaksa berulang-alik ke hospital sehingga meninggal dunia, kelmarin, menyebabkan mereka sekeluarga kesempitan wang.

“Sebelum ini kami masih boleh menyara hidup dengan sedikit wang simpanan selain dibantu anak-anak yang lain serta saudara-mara terdekat yang mengambil berat nasib cucu saya.

“Saya bersyukur kerana ahli keluarga lain turut mengambil berat, namun kami tidak boleh bergantung selamanya kepada bantuan mereka yang perlu menyara keluarga masing-masing.

“Keluarga besan juga selalu berhubung dan mengambil berat mengenai cucu yang dibawa tinggal bersama mereka apabila cuti sekolah,” katanya.

Sementara itu, nasib empat beradik terbabit mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sik, Pejabat Ahli Parlimen Sik dan Pejabat Zakat Negeri Kedah yang menziarahi mereka.

Pegawai JKM Daerah Sik Yahya Mat Khatib berkata, keluarga terbabit sebelum ini pernah dibantu dan kini JKM turut meluluskan bantuan kanak-kanak RM300 sebulan untuk keperluan tiga anaknya tidak termasuk Mohd Danish Faris.

“Kami juga menyumbangkan bantuan segera RM300 semalam (kelmarin) dan akan mempertimbangkan untuk merujuk kes mereka kepada pejabat zakat.

“Kita juga mengatur sesi kaunseling dan akan menempatkan seorang sukarelawan JKM bagi memantau perkembangan keluarga ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh terus ke rumah mereka di alamat Nombor 42, Kampung Baru, Seri Dacing, Sik, Kedah atau hubungi mereka di talian 017-4370835.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 5:50 AM