KAMARIAH menunjukkan tapak rumahnya di Kampung Jakar yang dalam pembinaan dan dijangka siap Mei depan.
KAMARIAH menunjukkan tapak rumahnya di Kampung Jakar yang dalam pembinaan dan dijangka siap Mei depan.

Rantau Panjang: “Saya tidak sabar tinggal di rumah sendiri yang lebih selesa,” kata ibu tunggal, Kamariah Sulaiman, 44, ketika ditemui di tapak rumahnya di Kampung Jakar, Pasir Mas.

Kisahnya bersama lima anak yang tinggal di rumah yang dibina sendiri menggunakan buluh dan kayu hutan dilaporkan akhbar selepas tular, 6 Februari lalu.

Menurutnya, sudah lama dia mengimpikan memiliki rumah sendiri yang lebih selesa kerana bimbangkan rumah binaannya yang hampir roboh.

Malangnya, disebabkan kesempitan hidup, dia akur dan bertahan selagi rumah itu tidak menyembah bumi.

“Tidak dinafikan saya bimbang terutama keselamatan anak kerana rumah didiami sekarang bukan kukuh sangat dan akan runtuh bila-bila masa terutama ketika hujan dan angin kencang.

“Alhamdulillah, kini impian saya menjadi kenyataan dan bakal mendiami rumah sendiri dijangka Mei depan selepas pembinaannya dimulakan sejak seminggu lalu,” katanya.

Kamariah berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan dan pihak berkuasa kerana prihatin serta sudi membantu menyediakan rumah itu.

“Tidak terbalas rasanya, saya sungguh terharu dengan sikap cakna yang ada dalam diri mereka yang membantu kerana mereka tidak memilih siapa yang hendak dibantu.

“Sejak seminggu lalu, setiap hari saya berulang alik ke tapak rumah di sini bagi melihat kerja pembinaan yang dilakukan selain menghantar makanan dan minuman kepada pekerja yang membinanya.

“Jaraknya tidaklah jauh sangat hanya lima kilometer saja dari rumah dan insya-Allah selepas berpindah di sini, persekolahan anak lebih teratur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 5:22 AM