Kamalanathan beramah mesra dengan  murid kerdil M Sethupathy 12, (di ribanya) dan rakan-rakannya pada majlis Penyerahan Cek Peruntukan Khas Penyelenggaraan Kecil kepada SJKT di Negeri Perak.
Kamalanathan beramah mesra dengan murid kerdil M Sethupathy 12, (di ribanya) dan rakan-rakannya pada majlis Penyerahan Cek Peruntukan Khas Penyelenggaraan Kecil kepada SJKT di Negeri Perak.

Ipoh: Kementerian Pendidikan sentiasa terbuka dalam menerima pandangan daripada semua pihak bagi mengenal pasti punca pelajar sekolah pada masa kini gemar melakukan aktiviti malam sehingga lewat pagi.

Justeru, kementerian berkenaan mengalu-alukan perjumpaan antara ibu bapa dan pihak berwajib diadakan bagi membincangkan masalah itu, sekali gus mencari jalan penyelesaian.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan berkata, kementerian tiada masalah mengadakan perbincangan dengan ibu bapa bagi mengenal pasti masalah berkenaan.

Katanya, sikap keterbukaan sentiasa diamalkan kementerian bagi bersama-sama menyelesaikan setiap permasalahan dan pendapat daripada masyarakat amat penting dalam pembentukan sistem pendidikan negara.

“Kementerian mengamalkan sikap keterbukaan ini sejak dahulu lagi, tiada masalah sekiranya diadakan perbincangan antara ibu bapa dan pihak sekolah bagi mencari jalan penyelesaian.

“Pihak kami (kementerian) berasa sangat sedih dengan kemalangan mengorbankan lapan remaja di Johor Bahru dan bersimpati dengan keluarga mangsa,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Khas Penyelenggaraan Kecil 2016 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) negeri Perak di SJKT Kerajaan di sini, semalam.

Kamalanathan mengulas kemalangan mengorbankan lapan remaja lelaki manakala lapan lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, berhampiran Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah di Johor Bahru, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Kamalanathan berkata, kementerian memperuntukkan RM3 juta kepada 15 SJKT di seluruh negara bagi membantu pembangunan sukan di setiap sekolah berkenaan.

Katanya, ia membabitkan aspek kemudahan sukan di setiap sekolah termasuk gelanggang serta peralatan sukan bagi memacu pembangunan sukan daripada akar umbi.

“Peruntukan ini hasil perbincangan diadakan antara Yayasan Sukan, kementerian dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang melihat perlunya pembangunan sukan di SJKT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 5:16 AM