Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Kilometer 44.8 Jalan Batu Pahat-Mersing, semalam.
Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Kilometer 44.8 Jalan Batu Pahat-Mersing, semalam.
myMetro

Kluang: Dua lelaki maut, manakala seorang kanak-kanak parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kilometer 44.8, Jalan Batu Pahat-Mersing, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, dalam kejadian jam 1 tengah hari, motosikal ditunggang Kwong Kam Cheong, 61, bersama anaknya, Kwong Yah Hui, 11, dalam perjalanan dari Ayer Hitam menuju Kluang.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, Cheong membelok masuk ke simpang kanan jalan sebelum dirempuh motosikal ditunggang Muhamad Syahmi Abdul Malik, 23, dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan, Cheong dan Muhamad Syahmi parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi.

“Hui yang membonceng, parah di badan dan patah kaki kiri dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom,” katanya.

Muhamad berkata, mayat kedua-dua mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing lewat petang semalam.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku di simpang tiga dengan sistem laluan dua hala empat lorong dan cuaca baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 8:30 AM