PENGERUSI Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Basung, Mamat Mat Amin, 66, menunjukkan keadaan sungai  yang semakin cetek.
PENGERUSI Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Basung, Mamat Mat Amin, 66, menunjukkan keadaan sungai yang semakin cetek.
Helmy Abd Rahman dan Nazdy Harun

Hulu Terengganu: Walaupun kadar taburan hujan yang tinggi dikatakan menjadi punca utama berlakunya banjir besar di daerah ini bulan lalu, tetapi beberapa faktor lain antaranya sungai cetek dikenal pasti penyebabnya.

Pegawai Daerah Hulu Terengganu Azmi Razik berkata, pihaknya sedia maklum mengenai permasalahan sungai cetek terutama membabitkan Sungai Telemong dan anak sungainya.

“Selain faktor kadar taburan hujan lebat, keadaan sungai cetek juga mendorong limpahan air sungai berlaku dengan cepat ke kampung berhampiran berikutan tidak mampu menampung jumlah air yang banyak.

“Sungai itu cetek disebabkan berlaku mendapan di kawasan terbabit dan diakui ia adalah kesan daripada aktiviti pembalakan yang berlaku mungkin antara 10 hingga 15 tahun lalu.

“Walaupun aktiviti pembalakan sudah lama berakhir, tetapi inilah kesannya jika ia tidak dikawal dan penduduk menerima musibahnya,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya akan melakukan perbincangan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi kerja mendalamkan sungai dan menaik taraf laluan yang sering ditenggelami banjir.

“Peruntukan sebanyak RM20 juta juga diperlukan bagi menaikkan aras Jalan Kampung Paya Besar iaitu laluan utama dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang yang sering ditenggelami banjir hingga mengakibatkan laluan berkenaan tidak dapat dilalui apabila berlakunya bencana berkenaan.

“Selain pembalakan, hakisan tebing juga faktor yang mengakibatkan berlakunya mendapan hingga menyebabkan sungai di daerah ini cetek,” katanya.

Menurutnya, sistem aliran sungai terutama kawasan Kampung Basung, Kepah dan Tengkawan serta sekitarnya mengalami mendapan hingga tiga meter dan ia mengakibatkan sungai terbabit tidak mampu menampung jumlah air yang banyak.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu C Poobalan berkata, hujan lebat dan sungai tidak dapat menampung air lari iaitu baki hujan yang mengalir di permukaan tanah menjadi punca utama berlaku banjir luar biasa di daerah Hulu Terengganu.

Katanya, keadaan itu berlaku disebabkan pelbagai aktiviti yang dijalankan di bahagian hulu sungai termasuk juga jika berlaku pembalakan kerana ia boleh menyebabkan terjadinya pertambahan air larian.

“Apa saja aktiviti di hulu sungai sama ada pembalakan, pembangunan perumahan atau perindustrian akan menyebabkan pertambahan air larian.

“Sekiranya aktiviti seperti itu tidak terkawal semua keladak kesan daripada kegiatan terbabit semuanya akan masuk ke sungai dan lama-kelamaan ia akan menjejaskannya.

“Keadaan ini boleh menyebabkan sungai menjadi cetek. Setiap aktiviti yang dijalankan perlu mengikut garis panduan Pelan Kawalan Kelodak Dan Hakisan (ESCP) dari segi penyediaan kolam takungan kelodak,” katanya.

Menurutnya, menjadi amalan biasa untuk semua sungai di negara ini diselenggara secara berkala mengikut kadar hakisan yang berlaku.

“Ada sungai yang perlu dikorek setiap tiga atau lima tahun sekali. JPS akan membuat penyelenggaraan sungai mengikut keutamaan dan peruntukan yang disediakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 8:20 AM