TIGA  ruang bilik rumah Abdullah runtuh kerana banjir.
TIGA ruang bilik rumah Abdullah runtuh kerana banjir.
ABDULLAH  membaiki ruang bilik yang roboh akibat banjir.
ABDULLAH membaiki ruang bilik yang roboh akibat banjir.
Helmy Abd Rahman dan Nazdy Harun


Hulu Terengganu: Sungai yang semakin cetek berikutan aktiviti manusia di bahagian hulu khususnya pembalakan didakwa antara punca banjir luar biasa yang berlaku
di Kampung Basung, di sini,
bulan lalu.

Banjir kali ini berbeza dengan kejadian pada tahun sebelumnya, sekali gus mengundang kegusaran penduduk setempat.

Selain paras airnya sekali ganda lebih tinggi berbanding kejadian tahun lalu, banjir berkenaan turut membawa lumpur tebal.

Penduduk mendakwa, ia berlaku kesan daripada aktiviti pembalakan yang berlaku di hulu sungai berdekatan kampung terbabit.

Aktiviti pembalakan dikatakan menjadi penyebab sungai berdekatan kawasan terbabit kini menjadi cetek serta tidak mampu menampung aliran air apabila hujan berterusan, sekali gus membuatkan paras air meningkat dengan mendadak.

Berikutan itu, penduduk terpaksa menanggung akibat selain berdepan kerugian kerana pelbagai peralatan
di rumah tidak dapat diselamatkan.

Bencana berkenaan
juga menyebabkan ada penduduk terpaksa menyabung nyawa mengharungi banjir dalam keadaan arus deras bagi menyelamatkan diri selepas paras air meningkat secara mendadak.

Penduduk, Abdullah Mamat, 60, berkata, banjir yang berlaku bulan lalu itu menyebabkan tiga ruang bilik rumahnya runtuh.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang pada 3 Januari lalu berikutan banjir luar biasa melanda kampung berkenaan, sekali gus menenggelamkan rumahnya.

Katanya, arus deras melanda bahagian ruang
di tiga bilik rumahnya sepanjang lapan meter dan lebar empat meter hingga roboh.

“Akibat musibah berkenaan, pelbagai perkakas dan perabot yang berada di dalam bilik rosak dan ada yang dihanyutkan banjir,” katanya.

Abdullah berkata, banjir yang melanda agak luar biasa dengan arus deras dan paras airnya yang mencecah sehingga dua meter.

“Kedudukan rumah saya berdekatan sungai terdedah dengan risiko banjir namun kali ini kejadian banjir amat luar biasa berkemungkinan faktor limpahan air sungai yang banyak dan taburan hujan tinggi.

“Sungai di kampung ini perlu didalamkan kerana ia amat cetek dan tidak mampu menampung air yang banyak.

“Selain itu, aktiviti penerokaan hutan perlu dihadkan bagi mengelak hakisan berterusan dan kesannya dirasai masyarakat setempat,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang berhadapan dengan banjir luar biasa itu, Wan Fatimah Tuan Muda, 90, berkata, sepanjang hayatnya yang menetap di kampung berkenaan tidak pernah berhadapan dengan bencana seteruk itu.

“Sepanjang hidup saya tidak pernah melalui banjir seburuk ini dengan paras air yang tinggi hingga saya bersama keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan bagi menyelamatkan diri,” katanya.

Menurutnya, kejadian banjir itu disifatkan paling buruk sepanjang hayatnya kerana tidak menyangka paras air meningkat hingga dua meter.

Warga emas itu mendakwa, sungai yang semakin cetek mendorong banjir besar dan ia dipercayai mempunyai kaitan dengan pelbagai aktiviti di bahagian hulu sungai.

“Keadaan sungai kini amat cetek dan sudah tidak mampu menampung air hujan dan penduduk kini akan berdepan kemungkinan berlaku banjir besar tiap kali musim hujan.

“Banyak yang perlu dilihat dan diselidiki mengapa banjir seperti yang berlaku bulan lalu,” katanya.

Dakwanya lagi, penerokaan hutan secara berterusan turut mendatangkan musibah kepada penduduk setempat yang mana penempatan di kawasan berkenaan biasanya dibina berdekatan sungai.

“Kampung-kampung
di daerah ini biasanya
di tebing sungai berikutan satu masa dahulu penduduk menjadikannya sebagai laluan penghubung ke hilir atau ke bandar.

“Sebab itu sekiranya berlakunya limpahan air sungai hingga tercetus banjir maka penduduk di tebing sungai yang teruk terjejas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 8:52 AM