ORANG ramai membantu mengangkat Hassan yang terbabit kemalangan di Pekan Sehari Kampung Luat.
ORANG ramai membantu mengangkat Hassan yang terbabit kemalangan di Pekan Sehari Kampung Luat.
D J Dolasoh

Lenggong: Selepas kira-kira 12 jam tidak sedarkan diri, seorang tukang mandi jenazah warga emas meninggal dunia di Hospital Taiping, dekat sini, awal pagi, semalam.

Hassan Ismail, 79, parah di muka selepas motosikal yang ditunggang bergesel dengan kereta di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Abdul Aziz jam 6.10 petang kelmarin.

Mangsa yang tinggal di Taman Bukit Senyum, di sini, disahkan meninggal dunia jam 6.10 pagi ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Ketika kejadian, Hassan dikatakan menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan pulang dari Pekan Sehari Kampung Luat bergesel dengan kereta Suzuki Swift dari arah sama yang juga balik dari pasar sama.

Kejadian berlaku hanya setengah kilometer dari rumahnya apabila motosikal ditunggang bergesel dengan bahagian belakang kereta dinaiki pasangan pengantin baharu itu.

Akibat kejadian, mangsa tercampak ke atas jalan dalam keadaan tertiarap dan parah di muka.

Mangsa yang lebih dikenali Pak Teh Man dibawa ke Klinik Kesihatan Lenggong sebelum dikejarkan ke Hospital Taiping sebelum meninggal dunia kira-kira 12 jam kemudian.

Isteri mangsa, Wan Rasmah Wan Abdullah, 74, berkata, arwah suaminya seorang tukang mandi jenazah di sekitar Lenggong menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan lemah jantung serta pernah membuat pembedahan 10 tahun lalu.

“Beberapa hari lepas, Pak Teh Man (suami) ada bertanya Mak Teh adakah akan berkahwin lagi jika dia meninggal dunia nanti, tetapi arwah suami senyap bila Mak Teh kata tidak teringin untuk berkahwin lagi.

“Petang semalam (kelmarin) suami berkeras mahu ke Pekan Sehari di Kampung Luat kira-kira 10 kilometer walaupun Mak Teh memarahinya dan sebelum ini empat anak kami sering menasihatinya supaya jangan menunggang motosikal lagi kerana uzur,” katanya ditemui di rumahnya, semalam.

Wan Rasmah berkata, arwah teringin makan pisang abu dan mahu membelinya di pasar itu, tetapi yang dibawanya bawang di dalam bakul motosikalnya.

“Bagaimanapun, Mak Teh reda dengan kejadian itu dan menganggap sudah sampai takdir,” katanya.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Dinding, Lenggong sebelum Zuhur semalam.

Sementara itu, jurucakap polis trafik yang ditemui di tempat kejadian berkata, kemalangan berlaku disebabkan pergeseran antara motosikal mangsa dengan sebuah kereta dinaiki pasangan pengantin baru dari arah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 10:35 AM