WINDA (kiri depan) bersama ahli jawatankuasa MBBA menunjukkan borang keahlian di The Scissors Culture.
WINDA (kiri depan) bersama ahli jawatankuasa MBBA menunjukkan borang keahlian di The Scissors Culture.
Iskandar Shah Mohamed


Shah Alam: Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA) membuka keahlian kepada umum di seluruh negara bagi memastikan kebajikan tukang gunting rambut terpelihara.

Persatuan pertama untuk Bumiputera itu memperoleh kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada November lalu dan ditubuhkan untuk memartabatkan lagi profesion berkenaan.

Pengerusi MBBA T N Winda Mohd Tahir berkata, objektif persatuan itu antaranya turut mahu menghimpunkan semua tukang gunting rambut sama ada pengusaha kedai atau individu persendirian.

“Umum menyedari kedai ‘barber’ (gunting rambut) yang tumbuh bak cendawan ketika ini mendapat sambutan menggalakkan terutama guntingan berfesyen atau ‘hipster’.

“Berikutan itu, MBBA ditubuhkan bagi memastikan mereka dapat dihimpunkan di bawah satu ‘bumbung’ untuk mewujudkan perpaduan selain berkongsi maklumat mengenai kerjaya ini,” katanya di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Presiden MBBA Syazwan Abdul Aziz dan Setiausaha Agongnya Hilmie Hashim.

Menurut Winda, keahlian itu dibuka juga bertujuan membincangkan isu penyelarasan harga gunting rambut sedia ada dan menetapkannya pada tahap tertentu.

“Faktor itu antaranya bergantung kepada kadar sewaan premis dan teknik dimiliki penggunting. Biasanya, harga RM20 dikenakan untuk guntingan namun hasil tidak memuaskan pelanggan atau premis tidak selesa seperti tiada alat penghawa dingin dan sebagainya.

“Justeru, kami mahu ia diselaraskan di seluruh negara kelak terutama bagi ahli MBBA,” katanya yang turut merancang menyediakan khidmat nasihat, bimbingan dan latihan kepada ahli secara berperingkat selain peluang pekerjaan kepada mereka.

Winda yang juga pemilik Al Ikhwan Barbershop Pantai Dalam, Kuala Lumpur berkata, selain menjadi saluran kepada penggunting yang ingin membuka perniagaan sendiri, pihaknya mahu membantu mereka yang ingin bekerja dan menyertai pertandingan di luar negara.

“Sebelum ini, memang ada yang mahu memasuki pertandingan tetapi wujud kekangan berikutan memerlukan pengesahan daripada wakil sesebuah persatuan. Kini, dengan tertubuhnya MBBA, kita boleh menjadi platform kepada mereka,” katanya.

Sehubungan itu, mereka yang berminat menjadi ahli MBBA terutama lelaki Bumiputera berusia 18 tahun ke atas boleh menghubungi Hilmie di talian 012-2029852 untuk mendapatkan maklumat lanjut termasuk yuran keahlian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 9:14 AM