Saiful  mendukung anaknya   yang didakwa didera.
Saiful mendukung anaknya yang didakwa didera.
Omar Osman


Sungai Petani: Seorang bapa mengesyaki anak lelakinya berusia dua tahun didera apabila mengalami lebam pada kedua-dua belah mata serta bengkak di kepala.

Kejadian itu disedari Saiful Mohamad Salleh, 40, ketika mengambil anaknya itu di rumah bekas kakak iparnya di Kampung Padang Besar, Kuala Ketil jam 11.30 pagi, Jumaat lalu.

Katanya, bekas isterinya, Roslina Ahmad, 30-an, meninggalkan anak mereka kerana dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bersalin.

“Sejak bercerai, bekas isteri menjaga anak lelaki kami dan tinggal di rumah berhampiran dengan kediaman bekas kakak ipar.

“Ketika mengambil anak, saya dapati ada kesan lebam pada kedua-dua belah mata serta bengkak di kepalanya.

“Saya bertanya kepada bekas kakak ipar dan dia memberitahu anak saya diambil suaminya sebelum dibawa pulang ke rumah awal pagi Jumaat lalu,” katanya ketika ditemui di HSAH, semalam.

Saiful Mohamad dari Kampung Haji Ibrahim, Sungai Layar, di sini, berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Kuala Ketil jam 6 petang kelmarin, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kejadian itu.

“Anak saya dihantar ke Hospital Baling sebelum dipindahkan ke HSAH tengah malam tadi (semalam).

“Sehingga kini, anak saya dirawat di HSAH dan saya tidak tahu tahap kecederaannya,” katanya yang menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusof ketika dihubungi, semalam, mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan dilakukan.

“Mangsa dibawa untuk pemeriksaan di Hospital Baling serta HSAH dan ditahan di Wad Bunga Raya 1 untuk pemeriksaan doktor pakar.

“Setakat ini laporan daripada doktor di Hospital Baling mengesahkan kecederaan mangsa iaitu bengkak di bahagian kepala dan mata saja dan tiada kecederaan dalaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 10:02 AM