IBRAHIM memeriksa pakaian di kedainya.
IBRAHIM memeriksa pakaian di kedainya.
Fairul Asmani Mohd Pilus dan Mohd Razif Ismail


Rantau Panjang: “Kami di sini bosan kerana setiap tahun cerita yang sama, namun penyelesaiannya tiada.

“Sudah lali dengan banjir, bukan bermakna kami seronok menghadapi musibah ini. Jauh di sudut hati, kami berharap penyelesaian yang mengurangkan beban,” kata Fakaruddin Khalid, 49, penduduk Kampung Tepi Sungai di sini.

Sebagai anak jati kampung itu, Fakaruddin berkata, dia melalui pengalaman banjir sejak zaman kanak-kanak sehingga dewasa, malah mempunyai anak serta cucu.

Malah, setiap fasa perubahan bencana itu diketahuinya hanya dengan berpandukan paras air Sungai Golok yang 50 meter dari rumahnya.

Katanya, banjir memang ujian Allah untuk menguji hamba-Nya namun ia tidak bermakna manusia dilarang mengambil langkah pencegahan untuk menangani risiko akibat bencana itu.

“Jika bercakap isu banjir, saya sudah serik mengharapkan penyelesaian kerana setakat ini belum ada satu langkah yang mengurangkan bebanan kami.

“Kerugian akibat bencana ini pun sudah terlalu banyak, malah kerana terlalu penat menghadapi musibah setiap tahun, saya terpaksa membina rumah dua tingkat bagi mengelak ia tenggelam.

“Dengan cara ini, kami tidak perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebaliknya berteduh di tingkat satu. Lagipun ia mengelak rumah dimasuki pencuri ketika banjir.

“Tidakkah perit ujian untuk kami tanggung ini? Sebab itu, jika kerajaan kata nak buat langkah tangani masalah ini, saya minta sangat supaya pastikan ia dilaksana,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Fakaruddin berkata, masalah sistem perparitan yang tidak teratur antara punca banjir di zaman ini teruk dan lambat surut berbanding 30 tahun lalu.

Katanya, pembangunan yang mengabaikan kesempurnaan perparitan berisiko menyebabkan banjir kilat di kawasan pekan dan tambah buruk apabila limpahan air Sungai Golok tidak dapat dialir keluar.

“Perparitan adalah perkara asas yang perlu dinilai kembali sebelum usaha lain yang tentu mengambil masa lama,” katanya.

Sementara itu, peniaga pakaian di pekan Rantau Panjang, Ibrahim Mat Yusof, 36, berkata, hampir setiap tahun dia terpaksa menanggung kerugian selepas tiga kedainya dinaiki air ketika musim tengkujuh.

“Untuk tahun ini saja iaitu awal Januari, saya kerugian RM50,000 apabila kedai tenggelam dan pakaian terpaksa dilelong dengan harga murah kerana terkena air banjir.

“Sebagai peniaga, saya sedar risiko menjual di kawasan begini tetapi, takkan pihak berkuasa hanya nak diamkan diri dan tidak melakukan apa-apa untuk atasi masalah,” katanya.

Dia mengalu-alukan perancangan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah besar dana untuk projek tebatan banjir jangka panjang.

Harapannya projek itu berjaya dan mereka tidak perlu menderita lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 9:52 AM